Monday 15 April 2013

Kata Penegas

1. 
Kata penegas atau partikel ialah kata yang digunakan untuk memberi penekanan atau menegaskan bahagian-bahagian tertentu dalam ayat.

Terdapat banyak kata penegas dalam bahasa Melayu. Antaranya adalah sebagaimana berikut:

a) -kah
b) -tah
c) -lah
d) juga/jua
e) pun
f) sahaja
g) lagi
h) hanya
i) memang
Kata penegas -kah, -tah dan -lah hadir sebagai penegas frasa predikat hanya apabila bahagian-bahagian ayat yang ditegaskan itu mengalami proses pendepanan. Kata-kata penegas ini mestilah digandingkan atau dirangkaikan dengan perkataan atau frasa yang ditegaskan.

Manakala kata penegas juga atau jua, pun, sahaja, lagi, hanya dan memang bersifat bebas dari segi kehadirannya dalam ayat sama ada dalam subjek atau predikat. Kata-kata penegas ini mestilah ditulis berasingan atau dijarakkan dari perkataan atau frasa yang ditegaskan.

2. 
a) Kata penegas juga dan jua saling berganti yang digunakan untuk menekankan atau menegaskan perkataan yang mendahuluinya dalam ayat penyata.
b) Kata-kata penegas ini boleh hadir di tengah dan di belakang ayat.
c) Kata penegas juga atau jua tidak boleh hadir di hadapan ayat.

Contoh 1: (menunjukkan 'keadaan yang sama' atau 'serupa')
i. Mereka juga ingin pergi ke pasar malam ini.
ii. Kalau ayah pergi ke masjid, saya hendak ikut juga.

Salah jika:

i. Juga mereka ingin pergi ke pasar malam.
ii. Juga saya hendak ikut kalau ayah pergi ke masjid.

Contoh 2: (menunjukkan 'perbuatan yang berterusan' atau 'tidak berhenti-henti')

i. Budak-budak itu bermain jua walaupun hujan lebat.
ii. Meskipun dilarang oleh ibunya, Fakrul tetap akan pergi juga.

Contoh 3: (menunjukkan 'perbuatan yang berulang-ulang')

i. Semalam ayah tidak pergi bekerja dan hari ini juga beliau tidak pergi bekerja.
ii. Sudah tiga hari dia menanti surat daripada abangnya dan hingga kini dia masih juga menunggu surat itu.

Contoh 4: (menunjukkan 'agaknya' atau 'tidak seberapa' atau 'tidak sebegitu')

i. Abang Aznan tampan juga tetapi tidaklah setampan abang Salleh.
ii. Kereta baharu jiran saya itu mahal juga harganya tetapi tidak semahal kereta mewah ini.

Contoh 5: (menunjukkan 'ketidaktentuan' atau 'sebarang')

i. Apa-apa jua keputusan yang diambil oleh ayah, kami akan mematuhinya.
ii. Ke mana-mana juga dia pergi, buku tetap sentiasa di tangannya.
iii. Sesiapa juga tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan itu sekarang.

3. 
a) Kata penegas hanya digunakan untuk memberi penekanan atau penegasan bahagian-bahagian tertentu dalam ayat yang membawa maksud 'cuma', 'sahaja', 'tidak lebih daripada' atau 'sekadar' dan 'kecuali/melainkan'.
b) Boleh hadir di hadapan dan di tengah ayat.
c) Tidak boleh hadir di belakang ayat.

Contoh 1: (menunjukkan 'cuma' atau 'sahaja')

i. Hanya Taib seorang yang telah tiba di sekolah.
ii. Ahmad pulang ke kampung hanya dua hari.

Contoh 2: (membawa maksud 'tidak lebih daripada' atau 'sekadar')

i. Saleha hanya tersenyum apabila Rohana menegurnya di perhentian bas itu.
ii. Pak Karim hanya memerhati aksi berbahaya anaknya semasa menunggang motosikal itu.

Contoh 3: (membawa maksud 'kecuali' atau 'melainkan')

i. Semua murid kelas itu ingin menyertai rombongan itu, hanya Zakiah yang tidak mahu menyertainya.
ii. Klinik itu dibuka pada setiap hari dan hanya ditutup pada hari minggu.

d) Kata penegas hanya tidak boleh hadir bersama-sama kata penegas sahaja dalam satu ayat.

Contohnya:

Hanya Ramlah sahaja yang tidak hadir ke majlis itu semalam.

Sepatutnya:

Hanya Ramlah yang tidak hadir ke majlis itu semalam.
Ramlah sahaja yang tidak hadir ke majlis itu semalam.

4. 
a) Kata penegas -kah, -tah dan -lah boleh hadir di hadapan ayat tetapi tidak boleh hadir di belakang ayat. Ditulis bergandingan atau dirangkaikan dengan perkataan yang ditekankan atau ditegaskan.
b) Kata penegas juga dan jua boleh hadir di tengah atau di belakang ayat dan tidak boleh hadir di hadapan ayat.
c) Kata penegas juga saling bergantian dengan kata penegas jua. Kata penegas sahaja saling bergantian dengan kata penegas hanya dalam satu ayat.
d) Kata penegas sahaja dan lagi boleh hadir di tengah dan di belakang ayat tetapi tidak boleh hadir di hadapan ayat.
e) Kata penegas hanya dan memang boleh hadir di hadapan dan di tengah ayat tetapi tidak boleh hadir di belakang ayat.
f) Kata penegas pun boleh hadir di tengah ayat sahaja dan tidak boleh hadir di hadapan atau di belakang ayat.
g) Kata penegas juga, jua, pun, sahaja, hanya, lagi dan memang mesti ditulis berasingan atau dijarakkan dari perkataan atau bahagian ayat yang ditegaskan.
h) Kata penegas pun mesti ditulis bergandingan atau dirangkaikan dengan perkataan sebelumnya apabila membentuk kata hubung dan penanda wacana.

i. Contoh Kata Hubung:
- biarpun, kendatipun, meskipun, sungguhpun, walaupun
ii. Contoh Penanda Wacana:
- lagipun, sungguhpun begitu, sungguhpun demikian, walaupun demikian, walau bagaimanapun, biarpun begitu,

10 comments: