KUALA
LUMPUR, 19 Disember - Angin Monsun Barat Daya yang membawa hujan lebat
sejak awal pagi ini mengakibatkan beratus-ratus orang penduduk di Pantai
Barat Semenanjung terpaksa dipindahkan. Beribu-ribu orang warga Lembah
Klang juga turut terperangkap dalam kesesakan lalu lintas setelah jalan
utama dinaiki air.
Kejadian yang paling buruk berlaku di Jalan Tapah - Cameron
Highlands apabila berlakunya tanah runtuh di Kilometer 38.4. Kejadian
itu menyebabkan tiga buah lori tertimbus. Seorang pemandu daripada
lori-lori tersebut mengalami cedera parah sementara dua orang pemandu
yang lain terselamat dalam kejadian pada pukul 8.00 pagi itu. Pemandu
lori berusia 50 tahun yang cedera parah itu telah dihantar ke Hospital
Cameron Highlands, di Tanah Rata untuk menerima rawatan lanjut. Jabatan
Bomba dan Pertahanan Awam turut terlibat untuk memberi bantuan kepada
mangsa.
Berikutan dengan kejadian tersebut, Ketua Polis Daerah Batang
Padang, Supritendan Wan Mohamad Wan Abdullah berkata, beratus-ratus buah
kenderaan yang hendak menuruni kawasan percutian itu telah
terperangkap. Laluan itu terpaksa ditutup sepenuhnya untuk tujuan
pembersihan tanah. Sehingga pukul 7.45 malam ini, hanya satu laluan
sahaja yang dapat digunakan untuk kenderaan.
Menurutnya, selain kejadian pada pukul 8.00 pagi itu, dua kejadian
tanah runtuh lagi dikesan di laluan tersebut, iaitu di Kilometer 25.6
dan Kilometer 41.6. Walau bagaimanapun, kejadian tanah runtuh itu tidak
melibatkan sebarang kemalangan.
"Orang ramai yang hendak mengetahui keadaan laluan Tapah - Cameron
Highlands bolehlah menghubungi petugas Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis
Daerah Batang Padang di talian 05-4015222", katanya.
Sementara itu, hujan lebat yang turun hampir di seluruh negara
sejak awal pagi ini mengakibatkan banjir kilat dan perhubungan jalan
raya terputus. Suasana di Lembah Klang kelam-kabut apabila beribu-ribu
buah kenderaan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas setelah beberapa
batang jalan utama ditenggelami air. Kemalangan jalan raya turut
berlaku di beberapa tempat. Hal ini disebabkan oleh kecuaian pemandu.
Menurut Jabatan Perkhidmatan Kaji Cuaca, hujan lebat yang berlaku
pagi ini berpunca daripada peralihan Angin Monsun Barat Daya dan keadaan
tersebut dijangka berlarutan sehingga bulan Mac tahun depan.
"Hujan lebat turun tidak secara berterusan, sebaliknya
sekejap-sekejap dan diikuti hujan renyai-renyai," jelas jurucakap
jabatan itu sambil menasihati orang ramai agar mengikuti ramalan cuaca
yang dikeluarkan pihaknya.
Karangan bagus
ReplyDelete