Monday 15 April 2013

Kata Ganti Nama Diri

Kita -
kata ganti nama diri orang pertama (banyak)
Saya -
kata ganti nama diri orang pertama (tunggal) - percakapan rasmi
Kamu -
kata ganti nama diri orang kedua (tunggal)
Hamba -
kata ganti nama diri orang pertama (tunggal) - bahasa Melayu lama

Karangan Laporan


Laporan Minggu Bahasa Melayu

Panitia Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Bahagia telah menganjurkan Minggu Bahasa Melayu yang bermula dari 12 Mei hingga 16 Mei 2011.

     Objektif utama Minggu Bahasa Melayu itu diadakan adalah seperti berikut :
  1. Menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu yang betul.
  2. Memupuk minat murid untuk berkarya dan mencungkil bakat seni sastera.
  3. Membantu mempertingkatkan penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan murid.
  4. Memberi kesedaran tentang kepentingan dan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Minggu Bahasa Melayu telah dilancarkan oleh Tuan Haji Abdul Rahman bin Husin, Guru besar sekolah ini untuk sesi pagi dan Tuan Haji Saari bin Harun, Penyelia Petang  untuk sesi petang pada 12 Mei 2011.

     Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang minggu berkenaan untuk semua tahap murid sebagaimana berikut:
  1. Tahun 1 - Pertandingan Mewarna
  2. Tahun 2 - Pertandingan Bercerita
  3. Tahun 3 - Pertandingan Berpantun
  4. Tahun 4 - Pertandingan Mendeklamasi Sajak
  5. Tahun 5 - Pertandingan Syarahan
  6. Tahun 6 - Pertandingan Menulis Esei
  7. Terbuka kepada murid Tahap 2 - Pertandingan Melukis Poster 'Cintailah Bahasa Melayu'
Murid-murid telah menunjukkan minat dan memberikan sambutan yang menggalakkan terhadap semua aktiviti yang dijalankan.

Semua pertandingan telah diadili oleh guru-guru dalam Panitia Bahasa Melayu. Sebanyak 3 hadiah disediakan bagi setiap pertandingan. Hadiah-hadiah pertandingan telah disumbangkan oleh pengusaha kantin sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah ini.

Majlis penyampaian hadiah telah diadakan pada 17 Mei 2011. Tuan Guru Besar dan Yang Dipertua PIBG telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Disediakan oleh, 20 MEI 2011.


(SHAHARUDIN BIN BUSU)
Setiausaha,
Panitia Bahasa Melayu,
Sekolah Kebangsaan Bahagia.

Karangan Contoh Laporan

KUALA LUMPUR, 19 Disember - Angin Monsun Barat Daya yang membawa hujan lebat sejak awal pagi ini mengakibatkan beratus-ratus orang penduduk di Pantai Barat Semenanjung terpaksa dipindahkan. Beribu-ribu orang warga Lembah Klang juga turut terperangkap dalam kesesakan lalu lintas setelah jalan utama dinaiki air.

      Kejadian yang paling buruk berlaku di Jalan Tapah - Cameron Highlands apabila berlakunya tanah runtuh di Kilometer 38.4. Kejadian itu menyebabkan tiga buah lori tertimbus. Seorang pemandu daripada lori-lori tersebut mengalami cedera parah sementara dua orang pemandu yang lain terselamat dalam kejadian pada pukul 8.00 pagi itu. Pemandu lori berusia 50 tahun yang cedera parah itu telah dihantar ke Hospital Cameron Highlands, di Tanah Rata untuk menerima rawatan lanjut. Jabatan Bomba dan Pertahanan Awam turut terlibat untuk memberi bantuan kepada mangsa.

      Berikutan dengan kejadian tersebut, Ketua Polis Daerah Batang Padang, Supritendan Wan Mohamad Wan Abdullah berkata, beratus-ratus buah kenderaan yang hendak menuruni kawasan percutian itu telah terperangkap. Laluan itu terpaksa ditutup sepenuhnya untuk tujuan pembersihan tanah. Sehingga pukul 7.45 malam ini, hanya satu laluan sahaja yang dapat digunakan untuk kenderaan.

      Menurutnya, selain kejadian pada pukul 8.00 pagi itu, dua kejadian tanah runtuh lagi dikesan di laluan tersebut, iaitu di Kilometer 25.6 dan Kilometer 41.6. Walau bagaimanapun, kejadian tanah runtuh itu tidak melibatkan sebarang kemalangan.

      "Orang ramai yang hendak mengetahui keadaan laluan Tapah - Cameron Highlands bolehlah menghubungi petugas Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Batang Padang di talian 05-4015222", katanya.

      Sementara itu, hujan lebat yang turun hampir di seluruh negara sejak awal pagi ini mengakibatkan banjir kilat dan perhubungan jalan raya terputus. Suasana di Lembah Klang kelam-kabut apabila beribu-ribu buah kenderaan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas setelah beberapa batang jalan utama ditenggelami air. Kemalangan jalan raya turut berlaku di beberapa tempat. Hal ini disebabkan oleh kecuaian pemandu.  

      Menurut Jabatan Perkhidmatan Kaji Cuaca, hujan lebat yang berlaku pagi ini berpunca daripada peralihan Angin Monsun Barat Daya dan keadaan tersebut dijangka berlarutan sehingga bulan Mac tahun depan.

      "Hujan lebat turun tidak secara berterusan, sebaliknya sekejap-sekejap dan diikuti hujan renyai-renyai," jelas jurucakap jabatan itu sambil menasihati orang ramai agar mengikuti ramalan cuaca yang dikeluarkan pihaknya.

Penjodoh Bilangan

Sehiris   - penjodoh bilangan bagi sesuatu yang dipotong nipis (daging), sepotong
Sekepal   - seisi genggaman tangan ( nasi)
Seketul   - penjodoh bilangan bagi keratan tulang, kayu dan lain-lain. Segumpal
(tanah, nasi dan lain-lain)
Secubit   - sebanyak yang dapat disepit di antara ibu jari dengan jari telunjuk
Biji   - penjodoh bilangan bagi buah-buahan
Hiris   - penjodoh bilangan bagi sesuatu yang dipotong nipis (daging), sepotong
Keping   - penjodoh bilangan bagi sesuatu yang pipih dan nipis (kayu, kad, dan
kertas)

Kata Penegas

1. 
Kata penegas atau partikel ialah kata yang digunakan untuk memberi penekanan atau menegaskan bahagian-bahagian tertentu dalam ayat.

Terdapat banyak kata penegas dalam bahasa Melayu. Antaranya adalah sebagaimana berikut:

a) -kah
b) -tah
c) -lah
d) juga/jua
e) pun
f) sahaja
g) lagi
h) hanya
i) memang
Kata penegas -kah, -tah dan -lah hadir sebagai penegas frasa predikat hanya apabila bahagian-bahagian ayat yang ditegaskan itu mengalami proses pendepanan. Kata-kata penegas ini mestilah digandingkan atau dirangkaikan dengan perkataan atau frasa yang ditegaskan.

Manakala kata penegas juga atau jua, pun, sahaja, lagi, hanya dan memang bersifat bebas dari segi kehadirannya dalam ayat sama ada dalam subjek atau predikat. Kata-kata penegas ini mestilah ditulis berasingan atau dijarakkan dari perkataan atau frasa yang ditegaskan.

2. 
a) Kata penegas juga dan jua saling berganti yang digunakan untuk menekankan atau menegaskan perkataan yang mendahuluinya dalam ayat penyata.
b) Kata-kata penegas ini boleh hadir di tengah dan di belakang ayat.
c) Kata penegas juga atau jua tidak boleh hadir di hadapan ayat.

Contoh 1: (menunjukkan 'keadaan yang sama' atau 'serupa')
i. Mereka juga ingin pergi ke pasar malam ini.
ii. Kalau ayah pergi ke masjid, saya hendak ikut juga.

Salah jika:

i. Juga mereka ingin pergi ke pasar malam.
ii. Juga saya hendak ikut kalau ayah pergi ke masjid.

Contoh 2: (menunjukkan 'perbuatan yang berterusan' atau 'tidak berhenti-henti')

i. Budak-budak itu bermain jua walaupun hujan lebat.
ii. Meskipun dilarang oleh ibunya, Fakrul tetap akan pergi juga.

Contoh 3: (menunjukkan 'perbuatan yang berulang-ulang')

i. Semalam ayah tidak pergi bekerja dan hari ini juga beliau tidak pergi bekerja.
ii. Sudah tiga hari dia menanti surat daripada abangnya dan hingga kini dia masih juga menunggu surat itu.

Contoh 4: (menunjukkan 'agaknya' atau 'tidak seberapa' atau 'tidak sebegitu')

i. Abang Aznan tampan juga tetapi tidaklah setampan abang Salleh.
ii. Kereta baharu jiran saya itu mahal juga harganya tetapi tidak semahal kereta mewah ini.

Contoh 5: (menunjukkan 'ketidaktentuan' atau 'sebarang')

i. Apa-apa jua keputusan yang diambil oleh ayah, kami akan mematuhinya.
ii. Ke mana-mana juga dia pergi, buku tetap sentiasa di tangannya.
iii. Sesiapa juga tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan itu sekarang.

3. 
a) Kata penegas hanya digunakan untuk memberi penekanan atau penegasan bahagian-bahagian tertentu dalam ayat yang membawa maksud 'cuma', 'sahaja', 'tidak lebih daripada' atau 'sekadar' dan 'kecuali/melainkan'.
b) Boleh hadir di hadapan dan di tengah ayat.
c) Tidak boleh hadir di belakang ayat.

Contoh 1: (menunjukkan 'cuma' atau 'sahaja')

i. Hanya Taib seorang yang telah tiba di sekolah.
ii. Ahmad pulang ke kampung hanya dua hari.

Contoh 2: (membawa maksud 'tidak lebih daripada' atau 'sekadar')

i. Saleha hanya tersenyum apabila Rohana menegurnya di perhentian bas itu.
ii. Pak Karim hanya memerhati aksi berbahaya anaknya semasa menunggang motosikal itu.

Contoh 3: (membawa maksud 'kecuali' atau 'melainkan')

i. Semua murid kelas itu ingin menyertai rombongan itu, hanya Zakiah yang tidak mahu menyertainya.
ii. Klinik itu dibuka pada setiap hari dan hanya ditutup pada hari minggu.

d) Kata penegas hanya tidak boleh hadir bersama-sama kata penegas sahaja dalam satu ayat.

Contohnya:

Hanya Ramlah sahaja yang tidak hadir ke majlis itu semalam.

Sepatutnya:

Hanya Ramlah yang tidak hadir ke majlis itu semalam.
Ramlah sahaja yang tidak hadir ke majlis itu semalam.

4. 
a) Kata penegas -kah, -tah dan -lah boleh hadir di hadapan ayat tetapi tidak boleh hadir di belakang ayat. Ditulis bergandingan atau dirangkaikan dengan perkataan yang ditekankan atau ditegaskan.
b) Kata penegas juga dan jua boleh hadir di tengah atau di belakang ayat dan tidak boleh hadir di hadapan ayat.
c) Kata penegas juga saling bergantian dengan kata penegas jua. Kata penegas sahaja saling bergantian dengan kata penegas hanya dalam satu ayat.
d) Kata penegas sahaja dan lagi boleh hadir di tengah dan di belakang ayat tetapi tidak boleh hadir di hadapan ayat.
e) Kata penegas hanya dan memang boleh hadir di hadapan dan di tengah ayat tetapi tidak boleh hadir di belakang ayat.
f) Kata penegas pun boleh hadir di tengah ayat sahaja dan tidak boleh hadir di hadapan atau di belakang ayat.
g) Kata penegas juga, jua, pun, sahaja, hanya, lagi dan memang mesti ditulis berasingan atau dijarakkan dari perkataan atau bahagian ayat yang ditegaskan.
h) Kata penegas pun mesti ditulis bergandingan atau dirangkaikan dengan perkataan sebelumnya apabila membentuk kata hubung dan penanda wacana.

i. Contoh Kata Hubung:
- biarpun, kendatipun, meskipun, sungguhpun, walaupun
ii. Contoh Penanda Wacana:
- lagipun, sungguhpun begitu, sungguhpun demikian, walaupun demikian, walau bagaimanapun, biarpun begitu,

Kata Nafi

1. Kata Nafi digunakan untuk menafikan, menolak, menghalang, menyatakan tiada atau tak. Terdapat dua jenis kata nafi, iaitu
a) tidak
b) bukan

2. Kata nafi tidak boleh digunakan di hadapan frasa kerja.

Contoh:
Budin tidak menumbuk budak itu.
(Tidak ialah kata nafi dan menumbuk budak itu ialah frasa kerja.)

Salah jika:
Budin bukan menumbuk budak itu.

3. Hati Azwan tidak berasa tenang selagi dia tidak menyiapkan kerja-kerja sekolahnya.

- berasa (kata kerja)
- berasa tenang (frasa kerja)
- guna tidak

- menyiapkan (kata kerja)
- menyiapkan kerja sekolahnya (frasa kerja)
- guna tidak

Sunday 14 April 2013

 Contoh : Syair / Puisi

HIDUP SEPAKAT MEMBAWA BERKAT

Inilah kisah di sebuah desa
Penduduknya banyak berbilang bangsa
Berbeza adat, budaya, bahasa
Namun hidup sekata sentiasa

      Susah senang sama berganding
      Segala masalah dibawa berunding
      Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
      Bagaikan aur dengan tebing

Hidup sepakat setiap masa
Kaya dan miskin sama merasa
Orang yang susah dibantu sentiasa
Hidup mereka aman sentosa

      Apabila tiba musim perayaan
      Kunjung-mengunjung menjadi amalan
      Jari disusun memohon kemaafan
      Hidup harmoni sepanjang zaman

Dijaga dikawal keselamatan desa
Setiap malam meronda sentiasa
Tanpa disuruh tanpa dipaksa
Desa selamat sepanjang masa

      Demikianlah kisah sudah tersurat
      Penduduknya bersatu berganding erat
      Desa pun aman penghuni selamat
      Hidup sepakat membawa berkat.
 Contoh:Syarahan
    
    Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, panel hakim yang bijaksana, barisan pembangkang dan para hadirin yang budiman. Saya sebagai pencadang sangat bersetuju dengan tajuk 'Internet Lebih Banyak Membawa Keburukan daripada Kebaikan.'

Hadirin yang dihormati,

     Dewasa ini, internet digunakan dengan seluas-luasnya dalam pelbagai bidang. Pusat-pusat internet terdapat di mana-mana sahaja. Di rumah-rumah kediaman juga ada internet. Mereka sanggup menghabiskan masa berjam-jam dengan melayari internet. Mungkin pada suatu hari nanti akan lahir satu masyarakat yang suka membazir waktu.

     Sebenarnya, kita boleh mendapat banyak maklumat yang berguna dalam internet. Namun begitu, internet juga terdapat unsur-unsur yang negatif. Para pelanggan menjadi leka dengan unsur-unsur tersebut. Akhirnya, pengguna akan terdedah kepada unsur-unsur yang tidak sihat.

     Apabila leka melayari internet, pengguna-penggunanya kurang melakukan aktiviti luar. Mereka tidak berinteraksi dengan kawan-kawan dan jiran-jiran. Kalaulah keadaan ini berterusan, satu ketika nanti akan wujud masyarakat yang individualistik.

     Para pengguna tidak sedar bahawa bil eletrik mereka mungkin meningkat. Sepatutnya lebihan perbelanjaan tersebut digunakan kepada perkara-perkara yang berfaedah.

     Berdasarkan hujah-hujah di atas, jelaslah bahawa internet lebih banyak membawa kerosakan malah akan wujud kerosakan moral yang teruk nanti dalam masyarakat kita.

Sekian, terima kasih.
CONTOH  LAPORAN
Laporan Pasukan Bola Jaring Sekolah Kebangsaan Dato' Hassan

Penasihat : Puan Zainon Ahmad
(Guru Besar)
Pengurus : Encik Shamsuddin Mohd
(Setiausaha Sukan)
Jurulatih : Puan Hasmah Hashim
Cik Zanariah Zakaria
Ketua Pasukan : Nor Akma Baharum
Pemain-pemain : 1. Aisyha Nailah Harizan
2. Siti Humairah Abdul Hamid
3. Nurul Asyikin Jailani
4. Nor Ayuni Johari
5. Ainul Mardhiah Rashid
6. Siti Balqis Anuar
7. Nor Aina Khairul
8. Aqilah Ayub
9. Rabiah Ashaari

     Pasukan ini telah ditubuhkan semenjak tahun lepas sebagai pasukan pelapis. Bermula pada 18 Januari 2009, pasukan tersebut telah menjalani latihan pada setiap petang Isnin, Rabu dan Khamis. Hal ini adalah sebagai langkah persediaan untuk menghadapi perlawanan peringkat daerah.

     Semasa latihan, jurulatih telah memberi penekanan dalam aspek kecergasan dan kemahiran. Selain latihan fizikal, pasukan ini juga diberi motivasi supaya menjadi pasukan yang berkeyakinan dan bersemangat. Setiap kali sebelum latihan dimulakan, para pemain dipertontonkan dengan video dan rakaman permainan bola jaring. Melalui aktiviti ini para pemain berkesempatan untuk belajar tentang teknik-teknik permainan yang akan membantu mereka dalam perlawanan sebenar nanti.

     Selang dua minggu sebelum pertandingan, pasukan ini telah menjalani latihan intensif selama seminggu dan pada minggu berikutnya telah mengadakan perlawanan persahabatan dengan sekolah-sekolah berhampiran.

     Hasil daripada kesungguhan menjalani latihan di bawah bimbingan jurulatih, akhirnya pasukan ini telah berjaya menjadi johan pada peringkat daerah. Sehubungan itu, pasukan bola jaring sekolah ini akan mewakili daerah Muar ke peringkat negeri.

     Sebagai pengurus pasukan, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan padu kepada pasukan bola jaring sekolah ini. Semoga pasukan ini akan menjadi johan peringkat negeri pada tahun ini.

Disediakan oleh,
3 MEI 2009.
    
(SHAMSUDDIN MOHD)
Setiausaha Sukan,
Sekolah Kebangsaan Dato' Paduka.